Monday, February 28, 2011

Benarkah begitu?

Hari khamis lepas tengok satu drama melayu, ceta sepasang suami isteri yang isterinya tengah pregnant. Makcik jiran sebelah rumah datang melawat, antara pesannya kepada si suami:
" Jagalah isteri ni baik2, dia mengandung ni, orang kata kalau suami jaga si isteri dengan baik, anak tu akan lebih sayangkan ayahnya nanti"

Tertarik dengan ayat tu, betul ke camtu?
So kalau si anak tu langsung tak nak dengan ayahnya, menangis bila diambil ayahnya, nak dengan mak jer, adakah maksudnya si ayah telah tidak menjaga ibunya dengan baik dulu?

Dan bila melihat qaisara, dia memang rapat dengan papa, manja dengan papa, dan boleh dijaga papa ketika mama tiada, adakah itu bermaksud papanya telah menjaga mama dengan sangat baik sekali dulu...?

Sekalung terima kasih buat papamu Qaisara...:)...Boleh ler mama pregnant lagi...suka tau, leh manja2...........heheh....

Sunday, February 27, 2011

Kek Pisang Kukus versi menderhaka

Semenjak 2 menjak qaisara dah pandai bercakap ni, macam2 dah pandai dimintanya. Dan sejak2 mama rajin wat kek ni, dia pun asyik minta kek jer..
"Mama, nak 'happy to you' " (maksudnya nak kek la, sbb dia kenal kek waktu sambut birthday dia yang ke2 haritu, dan bagi dia kek=happy birthday to you=happy to you).

Kesian mama dengar camtu, so malam tadi mama bersengkang mata (wah bersengkang mata tau!) semata2 nak wat kek untuk qaisara . Actually dia nak kek coklat, tapi mama malas nak wat, kebetulan ada pisang, so jadilah kek pisang malam tadi.

Resepi seperti biasa , ambil dari sini : My Resepi : by amydanish
  • 2 cwn gandum
  • 1 st baking powder
  • 1 st soda bikarbonat
  • 4 bj telur gred A  (mama guna telur gred ntah hapa2 jer)
  • 1 cwn pisang dilecek
  • 3/4 cwn minyak masak  (mama guna butter dalam 150gm gitu)
  • 1 st esen banana (mama guna esen vanila, esen pisang takde)
  • 3/4cwn gula
Cara-cara
  1. ayak gandum, soda dan baking
  2. dlm bekas lain,putar telur dgn mixer hingga kembang
  3. kemudian masukkan pisang lecek,gula, minyak. putar lg sampai sebati.
  4. masukkan gandum sedikit demi sedikit. putar lg. akhir sekali tambahkan esen pisang
  5. kukus kek di atas api sederhana besar selama 40minit 
Oh yer..mama tutup loyang dengan aluminium foil, supaya air kukusan tak kena kek. Dan loyang tu dilengser dengan mentega dulu..

 Dan taraa...dah siap....sedap, lembut, gebu....fuh .... cube lerrr.....



Saturday, February 26, 2011

Akan berkurangkah bahasa cinta kita?

Semalam, barang yang kami order 3 minggu lepas akhirnya sampai. Itupun selepas papa pergi wat follow up kat tempat jualan dia.

Happy tau papa dapat ni, yerlah...leh urut2 badan anytime, leh urut2 kaki, leh bersenam..target berapa kg nak turun dalam masa sebulan ni agaknye?

best diurut begini selalu kan?

 papa dah tak payah wat reflexology utk mama by hand....


Harap2 juga barang2 ni tak jadi gajah putih, terutama yang ini::




Remember mama pernah ceritakan dulu di entry ini, bahawa salah satu bahasa cinta adalah melalui sentuhan dan khidmat bakti cthnya pelukan, urutan, dan lain2 sentuhan.
                Sesuatu yang bermain di fikiran mama sejak barang2 ini diorder, akan berkurangkah bahasa cinta kami? Akan kalahkah mama? Kurang sedapkah urutan mama berbanding kerusi ini ?
(**ntah hape2 kan, dengan kerusi pun nak cemburu...)

Dan yang paling penting, akan tiada lagikah peluang mama membuat pahala percuma ?
**Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala 7 tola perak.**

Dan akan ngelatkah papa bila diminta memicit mama? 
"eh takkanlah dah ada kerusi urut abg lagi yang kena urut? ". Papa.
"kerusi urut tak pandai cari urat yg sakit" . Mama.
(**dalam hati: kerusi urut cuma mengurut tanpa ada kasih sayang**)


Jika dulu mama bangun menyusukan baby, papa ikut bangun memicit2 bahu mama agar mama segar dan tidak mengantuk, nampaknya sekarang papa punya alasan untuk tidak turut bangun bersama mama di tengah malam lagi...
huhu *** mode sedih.


Apapun, harap berbaloi-baloi beli benda ni...kalau tak guna, mama jualkan jer balik..kekeke..

(*perkataan berbaloi-baloi itu adalah nahu yang salah , taktau macam mana Celcom leh guna word nih, sama macam kereta Persona, patutnya pesona jer...-kata cekgu BM*)

Wednesday, February 23, 2011

Puding Susu Kastard

Seperti yang mama ceritakan sebelum ni, mulut ni asyik teringin nak makan jer...semua benda yg manis2 dan berlemak plak tu...kenapa? kenapa? Mengidam ? Oh tidak!! no, no, no.....takkan lah ngidam plak kan, qaid baru 6 bulan , corrected age baru 2 bulan lebih...

Hari ni (eh dah masuk tarikh baru ek)...ok...semalam 22hb, mama malas nak masak nasi, suruh papa belikan jer...Masa baby Qaid tido tu actually mama nak wat benda lain...jeng jeng....mempersembahkan ::::> puding susu kastard dan aiskrim!!!

Sebenarnya semalam lepas buat kek coklat tu, ada banyak lebihan susu segar, so kalau tak wat apa2, memang terbuang susu tu, so mama search apa2 resepi yang guna susu segar, jumpa plak benda yang mama suka, puding ni...so dah ada semua bahannya, baik buat jer...

Resepi dapat dari MyResepi (leh tengok resepi asal di sini) (thanks to love2cook pemilik resepi.)
  
Bahan-bahan ( 4-5 orang )
  • 400ml air
  • 1 sb serbuk agar-agar
  • 200ml susu segar
  • 100gm gula kastor
  • 50gm tepung kastad
  • 1/2 tin jagung manis (dikisar)
  • Pewarna merah

Cara-cara

  1. Bancuh susu segar, tepung kastad dan gula kastor hingga larut. Ketepikan.
  2. Didihkan air bersama serbuk agar-agar.
  3. Masukkan bancuhan susu ke dlm agar-agar. Kacau sebati hingga pekat.
  4. Ambil 1/3 adunan dlm mangkuk lain. (kaedah double boiler) dan tambah 1-2 titik pewarna merah dan kacau sebati.
  5. Masukkan jagung yang telah dikisar tadi ke dlm adunan asli. Kacau. Padam api. (guna kaedah double boiler)
  6. Tuang 2/3 adunan jagung ke dlm setiap acuan. Biar sebentar dan tuang adunan merah di atas.
  7. Simpan dalam peti sejuk selama 1.5 jam, dan sedia dihidang.
  8. Selamat mencuba...
  9. Psst! Bg mrk yang suka puding kastad yang lembut, boleh kurangkan serbuk agar2 atau nak omit pun boleh ye.
Kalau omit serbuk agar2, lepas step 1, didihkan air dulu, then masukkan bancuhan susu (step 1) ke dlm air. Kacau2 sampai dia jadi pekat. Perlahankan api. Step slps tuh same jer. Kalau omit serbuk agar2, puding akan lembik2 gitu. Tapi sedap gak!
              Bagi yang yang taknak campur air, tapi nak susu aje pun boleh. So, susu 600ml. Step dia semua sama aje. Bancuhkan tepung kastad dgn sebahagian susu sblm dituangkan ke dlm adunan susu yang telah dididihkan bersama serbuk agar2 dan gula dlm periuk. Kacau sampai pekat, then ambik sebhgnnye letak warna merah. Selebihnye letak jagung.

Review: rasa puding ni lebih kurang dengan puding jagung yg mama biasa buat sebelum ni, cuma mama tak wat 2 kaler jer sebelum ni...
Oh yer..adunan ni cuma dapat dlm 5-6 gelas jer...so kalau nak byk, sila double la yer....

menggoda tak? hehe

Resepi aiskrim nanti mama postkan sini yer..lum dapat rasa lagi sedap ke tak, so tak berani letak dulu....


Kek Coklat Moist Lagi!

Ntah nape ek...semenjak 2 menjak ni mama craving for something yg berlemak2...berfat2 gitu....jap teringin nak makan kek la, jap puding la...jap aiskrim la... ni namanya nak menternak badan nih...just imagine kul 3-4 pagi leh bangun pekena roti gardenia 2-3 keping...pasni sure lemak2 akan menempel kat badan..huhu....tapi ada mama kesah? Haha.. aiman tak kesah...gemuk pun gemuk la... (sbb kurus berani la cakap, nanti kalau dah gemuk nyesal agaknya...huhu)

Okeh...ni kek moist ni mama wat kali kedua, tapi resepi yg berlainan dari kek-coklat-moist-pertama-mama hari tu...sajer nak try tengok mana lagi sedap...

Resepi kali ni mama ambik dari Myresepi...copy sini utk rujukan masa depan, kay.. (thanks to Hana di Myresepi)...ala, mama cari semula link kat myResepi dah tak jumpa plak...takperlah...copy dari dokumen yg mama dah save aritu..(kek ni dibuat 2 hari lepas)

KEK COKLAT MOIST KUKUS (HANA myREsEpi)

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/4 cwn serbuk koko van houten
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1 kotak susu coklat (250ml)
  • 2 biji telur (size M)
  • 1 cawan gula halus
  • 1/2 cawan butter
  • 3 sudu besar susu pekat
  • 1/4 cawan minyak masak n esen vanila
  • TOPPING
  • 3-5 sudu besar susu pekat
  • 1/4 cawan serbuk koko van houten
  • 2 sudu besar butter
  • 2 sudu besar susu segar

Cara-cara

  1. Pukul telur,gula dan butter sampai kembang.Kemudian titiskan esen vanila. n pukul lg.
  2. Ayak tepung,serbuk koko dan baking powder.
  3. Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan telur.Kaup balikkan.
  4. Masukkan susu kotak,susu pekat,minyak dan gaul sebati.
  5. Masukkan dlm loyang yg telah dilengser minyak/marjerin. Tutup dengan aluminium foil..Then kukus 45min...Dah masak sejukkan.
  6. Utk topping...campurkan semua bhn dan masak secara double boiler. Then bleh la curahkan kat atas kek yg dh sejuk td.. Hiaslah apa suka...Pastu simpan dlm peti sejuk beberapa jam sebelum dipotong....
  7. SeLaMat MeNcUbe....
Bagi mama, kek yg pertama hari tu lagi sedap,(mungkin sbb kali ni ada sedikit kesilapan teknikal sewaktu memukul telur di step 1 itu), tapi rasa kek ni still ok lagi, still memenuhi craving mama nih...Tapi qaisara plak suka kek ni, berbanding kek pertama hari tu....

Picture malu plak nak tunjuk, sbb bahagian atasnya tak cantik, tak rata dan tak licin...(kesilapan teknikal sewaktu mengeluarkan kek dari bekasnya)...** asyik kesilapan teknikal jer..haha**
Coklat topping pun bersememeh...buleh pakai tak alasan sbb kali pertama wat topping? hehe....

Abaikan rupaku yang tidak cumel ini, yg penting aku sedap...heheh...



Okey...nanti lain kali mama wat ikut resepi lain plak yer....nak cuba wat sampai dapat kek coklat moist yg betul2 rasa mcm kek coklat moist dari jalan TAR, KL tuh...fuh..terliurnya bila teringat...





Sunday, February 20, 2011

Festival Layang-layang Sedunia

Hari khamis lepas, kami outing ke Bukit Layang2 di Pasir Gudang, untuk sama-sama memeriahkan festival layang2 sedunia ni.. Festival ni berlangsung selama 5 hari, dari 16hb- 20hb Feb.
Oleh kerana kami pergi tu dah petang, dan hari khamis lak, so tak banyak sangat layang2 yang dinaikkan. Rasanya hari sabtu dan ahad nanti akan lebih meriah. So saper2 yang rasa teringin tu, silalah pergi tengok yer...yang tak dapat pegi, yang dok luar JB, jangan jelezzz..... mmmuahh....

Just few pictures to share:




Ni bukan belon ker, sejak bila ia dinamakan layang2?

Qaid pun taknak lepas peluang tgk kites

Isi perut dulu....

yeay!!!Best...

Nanges takmo balik, lum puas main la papa..Takper, papa janji nanti kita datang lagi, insyaAllah



Saturday, February 19, 2011

Peristiwa sedih ahad lepas

Mama baru teringat nak cerita pasal peristiwa ni...sedih sangat..huhu..

Remember mama pernah cerita pasal EBM stock for Qaid Mukhlis di sini ?
Hari ahad yang lepas, bila mama bangun pagi, tengok2 pintu freezer kat atas tu tak ditutup dengan rapat, means sepanjang malam ia begitu... terus check susu perahan, aduh..semua dah cair!!!

Sedih banget masa tu...Terasa penat lelah bangun jam 3-4 pagi untuk buat stock tu tak berbaloi..Terasa rugi sangat, sebab susu perahan yang beku itu bila dah cair dah tak boleh dibekukan semula. Mama letakkan susu yang dah cair tu di tingkat bawah, dengan harapan nak bagi Qaid dalam masa 3 hari tu, sbb susu cair hanya boleh disimpan lebih kurang 72 jam jika di peti ais bahagian bawah.

Tapi nampaknya Qaid lebih suka minum direct breatsfeeding, so susu yang banyak tu nampaknya terbuang juga..tak sempat nak habiskan dalam 3 hari.

Yang sedihnya sebab mama fikir stock tu cukup utk Qaid bila mama start bekerja 2 minggu lagi. Nampaknya dalam masa 2 minggu ni mama kena bekerja kuat untuk buat stock baru..Kalau tak sempat, nampaknya terpaksa lah Qaid minum susu tepung. Harap2 mama kuat semangat nak bangun malam2 buat stock lagi.

Takperlah, takde rezeki yang itu..mama usaha lagi yer sayangku Qaid..
Sebab kalau boleh mama nak Qaid exclusive brestfeeding selama mungkin, sbb nampak kesan positifnya, Qaid lebih kuat bila sistem immune nya lebih kuat. Mama harap dengan berkat susu ibu, Qaid tidak mudah diserang penyakit , sperti selesema, demam dan sebagainya. Tambah2 lagi Qaid mama terpaksa tinggalkan dengan pengasuh bila bekerja nanti...

Sebahagian susu perahan (EBM) yang terpaksa dibuang..sob sob...





Ya Allah ya Tuhanku , dengan rahmat dan kasih sayang MU, murahkanlah rezeki anakku untuk terus menyusu denganku...amin

Friday, February 18, 2011

Back to his first place...

Semalam (Rabu), kami bawa Qaid ke Hospital Penawar, jumpa pakar kanak-kanak, Dr Aziz sebab nampak Qaid bernafas tak comfortable sgt. Sampai jer kat sana, lepas daftar di kaunter, mama hantar sms kepada Dr Suhaimi (pakar O&G) yang menyambut kelahiran Qaid dulu. Kebetulan bilik Dr Aziz dan Dr Suhaimi bersebelahan.

Mama:  "Hi Dr Suhaimi. Remember the 725gm baby? He's outside your room!"
On the spot Dr Suhaimi replied : Nanti bawak masok!

Tak lama kemudian assistant Dr Suhaimi keluar dan menjemput kami masuk (actually ada patient lain menunggu).
The first sentence keluar dari mulut Dr Suhaimi bila tgk Qaid: "Miracle Baby!! This is really miracle!"
Kami : "Alhamdulillah"
Dr Suhaimi: "This is my record, the smallest dan the youngest yg pernah i sambut". Katanya lagi, kalau kat oversea mungkin 700gm tu boleh survive, tp kat Malaysia ni jarang2 survive. (Dan Qaid antara yang survive itu, alhamdulillah.)

Borak2 sekejap dengan Dr Suhaimi (lupa nak ucap terima kasih sbb sambut Qaid), then baru keluar untuk jumpa pakar paediatrik dan neonate , ie Dr Aziz yang dah pun menunggu kami di biliknya.

Dr Aziz ni lah yang bertanggungjawab ke atas Qaid selepas dia dilahirkan, yang resuscitate serta intubate Qaid dan dia lah yang menghantar Qaid dengan ambulan ke HSAJB dulu (semua orang heran apesal Dr Aziz sendiri yang hantar, sbb biasanya dia let go the nurses jer yang hantar kot).. (kisah kelahiran Qaid ini pernah mama ceritakan di sini)

Lama juga bual2 dengan Dr Aziz, sampai kakak dah hampir terlena di bahu mama, siap mintak n*n*n depan Dr Aziz tu! Kakak ni,  wat malu jer tau...

Alah, dengan Dr Aziz pun lupa nak cakap terima kasih sebab pernah tolong Qaid dulu.

Dah habis bual, Dr Aziz cadangkan Qaid diberi nebulizer untuk legakan pernafasannya. Okey..terus ke A&E dan ambik neb.

Tak sempat nak snap picture sbb mama masuk sorang dengan Qaid. Kakak dah terlena di pangkuan papa kat luar. Alamak, dengan Dr Suhaimi dan Dr Aziz pun lupa nak snap picture!

Alhamdulillah hasil pemeriksaan , Qaid ok, cuma mild URTI jer (Upper Respiratory Tract Infection), harapnya tak berterusan or worsening, insyaAllah...

Kakak sempat buat tahi mata kat Hospital Penawar


Ginilah keadaan Qaid di nebulised semalam

Wednesday, February 16, 2011

Suka tul wat qiamullail kalau papa takde! Dan tentang kasih sayang.

Aduh..letih, penat dan mengantuknya mama ini wahai anakanda Qaid Mukhlis. Bayangkan dari siang petang tadi Qaid berjaga, sampai kul 12.30am baru nak tido. Bila diletak , nanges. Bila dilihat, seolahnya kelaparan. Susu mama tak cukupkah? Mama bagi susu perahan di dalam botol, minumnya sikit ajer, pastu nanges lagi nak susu direct dengan mama. Itupun taknak tido lagi. Letih.

Si kakak pula, tak sah lah kalau tidak bising dan mengundang marah mama. Bisingnya hanya mahu menarik perhatian mama. Kalau adik didodoikan dengan zikir, dia juga mahu yang sama. Perlu ditepuk2 juga. Kadang2 mahunya direct breastfeeding juga, jeles tengok adik menyusu, nampak sedap barangkali. Dipujuk suruh tunggu, sabar, manalah pandai bersabar si kakak kecil itu. Mahu ditutup pintu  bilik itu, gedegang gedegung la jawabnya pintu bilik diketuk.

Pukul 10mlm, mama cuba tinggalkan sekejap Qaid untuk makan malam mama yang lewat benar itu. Namun, baru separuh nasi sempat ditelan, terpaksa mama tinggalkan untuk melayan tangisannya. Akhirnya, pukul 11 mlm , mama berjaya juga menghabiskan makan malam itu. Itupun tergesa2 benar, si kecil sudah meraung2 lagi. Ahh tinggalkan dulu pinggan mangkuk tidak berbasuh.

Akhirnya, jam 12 malam, Qaid terlena juga bersama mama (* ke mama sorang jer yang lena? Entah lah*). Jam 12.30 eh eh dia jaga lagi....bagi minum lagi... Last2 tido..nampak sedikit nyenyak tu, cepat2 mama tunaikan solat isyak, kemudian melayan laptop ini pula. Aduh, penat lagi. (Tapi laptop , facebook dan blog ini perlu dilayan juga, kalau tak, ia merajuk..sama mcm papa...eh salah...sama mcm Qaisara...  :P )

Hasrat di hati banyak kerja nak diselesaikan bila anak2 ini tidur, tp by the time diaorang tido, mama sendiri dah tak mampu membuka mata..huhu...mcm mana nak selesaikan kerja mama yang tertangguh di tingkat atas tu?

Tapi yang paling mama hairankan tu, kedua2 anak ni, buat perangai cuma bila papanya takde, like tonite, papa night shift. Time papa ada, takde pulak papa kena berjaga hingga ke pagi jaga diaorang...Sama juga di siang hari. Qaid boleh berjaga sepanjang hari, itupun time papa takde...Pelik..pelik...

Kadang2 mama rasa wonder macam mana orang dolu2, yang punya anak ramai dan rapat2, boleh melakukan kerja seharian mereka di rumah. Itupun tanpa bantuan maid, membasuh baju tanpa bantuan mesin, mengangkut air di perigi, tiada air paip seperti sekarang. Memasak, dapurnya kayu, bukan gas atau elektrik. Pelik dan ajaib bagaimana kerja mereka boleh siap, memasak on time, si suami balik dari sawah, nasi siap terhidang.

Menyesal punya anak yang rapat seperti Qaisara dan Qaid? Oh tidak sama sekali. Bukankah ini memang plan mama, disokong pula oleh papa, mahukan anak-anak rapat jaraknya, agar berkawan dia berdua. Kesiankan Qaisara pada asalnya, maka berikan dia seorang kawan. Cukupkah seorang kawan? Buat masa ini, ya.

Kata papa, biasanya parents paling sayangkan anak pertama dan anak bongsu. Yang tengah2 tu kurang sikit. Maka nampaknya 2 orang sudah cukuplah. So dua2 pun akan paling disayang mama dan papa sepenuh hati, seorang sebagai yang sulung, dan seorang yang bongsu.  
           Tapi kalau ada rezeki lagi, pastinya mama tetap sayang Qaid sebagai anak tengah sepenuh hati juga...dan kakak Qaisara yang pernah menjadi satu2nya buah hati peneman mama suatu ketika dulu, ketika adik belum ada, pastinya kakak punya tempat yang istimewa di hati mama!!


moncong yg sama.....


















Monday, February 14, 2011

Kek Coklat Moist Pertama Mama....


Dah lama dah sebenarnya teringin mama nak buat kek ni, tp tak berkesempatan. Hari ni, di celah2 kesibukan melayan qaisara dan adik yg tidurnya cuma sekejap2, mama try gak buat kek ni...Ini kira macam pertama kali la mama wat kek. Sebelum ni pernah cuba wat kek paling mudah, kek sponge, tp tak menjadi (cerita di sini)..dan pernah gak 3 kali wat kek pisang kukus, rasanya tu ok, qaisara suka, cuma rupanya tak berapa cantik, so mama tak publish di sini.

Kali ni mama publish resepi kek coklat ni just sbg ingatan diri sendiri walaupun rupa kek tu tak berapa cantik gak.  Yer lah, first time buat kan, rasa dan rupanya masih banyak perlu diperbaiki.

Yang sebenarnya mama teringin nak mkn kek coklat camni:

Kek perkahwinan mama & papa (thanks to my sis in law for the delicious cake!!)

Percubaan pertama ni mama ikut resepi kat blog Mas Duniaku ni (klik sini)

Mama copy & paste kat blog mama ni as a peringatan, in case nak wat lagi..rasanya memang nak wat lagi, sbb rasa dia ok jugak, lembut, gebu, cuma oleh kerana mama ni pertama kali masak coklat dan gula, rasanya mcm sedikit hangus, tak reti nak agak bila gula tu dah hancur...Dah jadi mcm kek gula hangus la plak..huhu...
Okey takper, next time dah reti kot...

Kek Coklat Kukus Munirah
Sumber : Kak Hana  
Resepi asal : Puan Munirah Baharom - KR
Bahan-bahan :
Bahan A :
  • 1 cawan gula pasir - hana dan kak.noor letak 3/4 cawan aje
  • 1 cawan serbuk koko
  • 1 cawan susu cair - hana gune susu segar
  • 1 cawan susu pekat
  • 1 cawan minyak masak
  • 1 sudu kecil serbuk nescafe - resepi asal xde
  • 1 sudu besar oren sunquits - Mas tambah
>> semua bahan di atas digaul sebati dan masak atas api perlahan sehingga gula larut. Matikan api dan rehatkan sekejap bila dah sebati.

Bahan B - di ayak
  • 3/4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil (sudu kfc) soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil (sudu kfc) baking powder
Bahan C :
  • 4 biji telur - diblender (tapi kak.noor pukul hingga kembang) - Hana juga. Mas pun

Cara :
  • Satukan bahan B dan bahan C ke dalam bahan A secara berselang seli dan gaul dengan senduk aje.
  • Bila dah sebati masukkan ke dalam loyang yang digris dan dilapik kertas kalis minyak. Kata Puan Munirah, loyang tu  kena dipanaskan dulu sebelum masukkan adunan kek tadi..
  • Kukus selama 1 jam atau sehingga masak. Jangan buka pengukus semasa proses mengukus 45 min yg pertama takut kek jadi mendap.

Dan...inilah hasilnya kek mama..hehe..jangan ketawa yer kengkawan...






Friday, February 11, 2011

Kakak nih....

Semalam petang Mr Papa balik dari somewhere, dan berkata : " Jom la gi jalan2 yang."
Mama : (terkejut campur suka, sbb papa ajak jalan, selalunya mama yg tukang ajak) : nak jalan2 kat mana?
Papa: Gi beli barang la.
Mama (tambah confuse) : Nak beli barang apa?
Papa: Barang-barang yg ayg sms abg suruh beli ni la.
Mama: Lor..bila masa plak ayg sms abg?
Papa : Ni...(sambil menunjukkan sms tertera di telefon bimbitnya)...(panjang senarai barang2 tu)
Mama : (terus check handphone sendiri) Patutlah...qaisara la main la fon mama ni...

Aduh...sesuka hati dia jer menghantar sms dalam draft sms mama tu ...Memang kebiasaan mama menyimpan senarai barang2 keperluan yang perlu dibeli di dalam draft. Nasib baik dia send kat papa jer..kalau send kat org lain, boss mama ker, camner tu..tak ke malu mama....

Mama : Habis tu nak ajak gi jalan2 tak ni?
Papa: Takyah la...ingat tadi nak beli barang...

Huhu..melepas lah sudah.....kalau tak boleh gi jalan2....


Hurm..tuan Permaisuri Cahaya Yang Cerdik ni.... memang peminat gajet la..laptop, handphone, kamera, semua nak diterokanya...Actually mama tak kisah pun dia wat main...cuma satu jer mama risau kalau dia main dengan handphone mama...mama takut dia terdelete semua sms dalam inbox mama...sms berharga tuh...kenangan zaman bercinta dengan papa...hehe....


p/s: Makna nama Qaisara Nur Damia = Permaisuri Cahaya Yang Cerdik


Tuesday, February 8, 2011

Genap 5 bulan ! 725gm kepada 3.4kg!

Hari ni 8/2/2011, genap umur Qaid 5 bulan (however corrected age sbnrnya baru 1 1/2 bulan )-kira macam baru hampir habis pantang la ..
Alhamdulillah, baby yang pernah diberitahu oleh doktor punya harapan tipis untuk hidup (was issued DIL) kini sihat dengan izinNYA..
Last week timbang berat Qaid di klinik Dr Nisah (pakar paediatrik), dia dah 3.4kg. Alhamdulillah. Berkat susu ibu.

Bila dikenang mama dah tak boleh nak bayangkan betapa kecilnya Qaid sewaktu lahirnya. Dengan hanya seberat 720gm, kemudian menjadi 600gm, he looks so fragile at that time. (Dia yang paling kecil dan paling muda lahir di ward tersebut, takde orang lain yg lahir seawal 24 minggu). Perkembangannya hari demi hari mama catatkan di sini ..

Kepala dan mukanya lebih kecil dari genggaman tangan mama yang kecil ini. Tapak tangannya hanya sebesar ibu jari mama, The smallest diapers (newborn) yang dipakainya hingga ke dada, terpaksa nurse lipatkan menjadi kecil.

Pertama kali diberi susu, hanya sebanyak 1 ml...diulangi 1 ml ..bukan 1 oz atau 1 sudu teh.
Kemudian beransur2 ditambah 1-2 ml selepas beberapa hari.

Perkembangan- off course untuk usia 5 bulan Qaid bukanlah seperti 5 bulan anak yang lahir matang. Bagi preemie seperti Qaid, perkembangannya akan dikira dari tarikh dia sepatutnya lahir, means dia skrg seperti bayi berusia 2 bulan.
Mama harap sebulan lagi insyaAllah dia bisa meniarap sendiri, spt kakak Qaisara yang meniarap sblm umurnya 3 bulan.

Mama juga sangat berharap agar mata dan otaknya berkembang seperti anak normal yang lain...Matanya yang pernah menjalani laser akibat penyakit ROP (klik sini ) kini memerlukan pemeriksaan susulan..(tomorrow is the appointment to see the opthalmologist)

Untuk otaknya, mama tak dapat pastikan sehingga dia membesar, bercakap dan berjalan. Only times will tell.
Untuk itu, tak putus doa mama agar dia jadi insan bijak, pintar, tiada sebarang kekurangan ,dan soleh..amin...insyaAllah.

1st pic:pampers dilipat. 2nd pic: masih sampai ke dada, 3rd pic: dah beso ..





Makna Family Bagi Qaisara


Berjauhan dari keluarga buatkan kadang2 mama sedih....tapi takdirnya di sini destinasi mama. Utara-selatan, 12 jam perjalanan, selalu buat mama homesick. Selalu buat air mata mama mengalir. Sesungguhnya mama rindu. Tambah lagi bila memandang wajah putera dan puteri mama ini dalam lena tidur mereka. Kesian mereka, terlalu jauh untuk merasa kasih sayang dari tok,tokwan, dan ibu2 saudara mereka.... Kadang2 rasa bersalah. meninggalkan ibu dan ayah yg telah tua di kampung. tanpa dapat membalas sepenuhnya jasa mereka.
Di sini, kami cuma ada papa. Sepertinya kami tidak punya sesiapa lagi selain papa. Benarkah?

Namun, mama selalu tahu, air yang dicincang tak akan putus (jika bil air sentiasa di bayar).  
Walau kadang2 hanya 2x dalam setahun bertemu keluarga mama, kasih sayang mereka sentiasa mekar buat qaisara dan qaid.
Bila mama melahirkan baby qaid, semua ibu saudaranya datang bertandang,toknya datang walau perjalanan itu memenatkan usia tuanya. Walau jauh, tapi diusahakan. Walau ada yang harus merentas laut cina selatan, tiada paksaan di situ.  Terima Kasih.

Bagi qaisara, bila ditanya mana tok dan tokwan , jawabnya di kampung.
Makna ibu saudara bagi qaisara adalah maklong, makndak, achik dan ibu.
Makna saudara sepupu bagi qaisara adalah Izz Adib Wajdi, kak Iffah Hanani dan abang Haziq Hakimi.

Bila melihat gambar mereka, pantas disebut nama mereka satu persatu. Betapa kuat ikatan hati itu kan? Walau jauh, cinta dan sayang itu kukuh. Bila sesekali berjumpa, happynya qaisara teramat.
Bila berjumpa, tiada rasa cuak, tiada tangisan (seperti lazimnya anak kecil yang melihat strangers).
Bila pulang ke kampung, ada rasa damai di hati mereka barangkali, tidur mereka lena walau rumah itu jarang sekali dikunjungi.
Dan bila berjumpa, sepertinya kami tak pernah tinggal jauh dari mereka.

Itu kerna adanya sayang. Kerna adanya cinta. Kerna kukuhnya ikatan. Kerna ambil peduli mereka. Love is about sharing and caring. Dan famili is all about love.!!

p/s : walaupun begitu, mama selalu berharap untuk terus tinggal di tempat asing ini, kerna di sini kami ada papa. Mama selalu berharap untuk menjadi tua bersama papa di villa ini.Bersama membesar dan mendidik permata hati kami. Tuhan makbulkan doaku...panjangkan usia kami berdua, agar anak2 kami tak merasa trauma kehilangan kasih mama dan papanya...

Sunday, February 6, 2011

Kenape idea selalu hilang?


Pelik tak? Time mama dok sesaja or tak buka laptop ni, mcm2 benda yg mama terfikir nak update dalam blog ni, mcm2 yang mama nak cerita pada kawan2..tp sebaik shj laptop ini on, terus sume idea tu terbang, tatau pegi mana... Pelik kan?

Hahaha...takde yg peliknya...mungkin mama yg dok berangan sendiri nak cerita mcm2...tp bila on komputer, terus tak jadi nak ceta, kadang2 sebab seronok lawat blog org lain, kdg2 sbb apa yg nak diceritakan tu mama bimbang membuka aib sendiri, atau takut orang kata tak best pun ceta u ni..ataupun takut cerita tu menghilangkan privacy dalam hidup mama sekeluarga, dan yang paling penting, kadang2 mama takut apa yang mama tulis ni menyentuh sensitiviti sesetengah kaum/orang... huhu..(banyaknya nak kena fikir bila wat blog ni kan?)

By the way....hari ni baby Qaid tido siang , (nanti mama ceritakan kisah Qaid yang taknak tido sepanjang hari)...so hari ni mama leh la update blog...tp Mr Papa marah..katanya baik rest..nanti bila anak bangun, takleh nak rest ...papa takut nanti mama tak rest...mama penat...papa gak yang nak kena picit-picit  mama...hahaha...

Okeylah..rasanya mama betul2 kena rest ni, sbb malam ni tinggal mama sorang utk jaga Qaid dan kakak..Mr Papa keje... harap2 malam ni Qaid tak wat qiamullail...:)



 



Wednesday, February 2, 2011

Yeay!! Jumpa Dr Anisah!

Hari ni temujanji Qaid dengan doktor pakar di HSAJB yang menjaganya semasa 101 hari di ward..iaitu Dr Anisah. Alhamdulillah tak ramai orang mcm kat klinik mata. Punya la cepat sangat sampai mama lupa nak snap pic dengan Dr Nisah yang cantik dan baik itu. Betapa lamanya Qaid di bawah jagaan beliau, hinggakan still dia ingat dan kenal Qaid serta mama.
Dr Nisah ckp Qaid jer yang wat tak tau dan wat-wat tak kenal dia.... ( heheh....Qaid kata :: sowi la Dr Nisah, Qaid ngantuk sangat la tadi, sampai tak larat nak senyum dengan Dr.)

Habis kat hospital, pergi daftar haji kat Tabung Haji...Huhu...nak tau tak...expected tahun 2037 baru tercalon!!! MasyaAllah...umur mama time pun dah tua bangka...ntah hidup lagi ke tak...takpelah...doa jer lah moga ada rezeki untuk pergi lebih awal, dan ada umurnya untuk sampai ke sana...insyaAllah. Manalah tau dapat pergi dengan buah hati kesayangan mama, putera dan puteri mama ni...

Sebelum balik singgah somewhere untuk membeli sesuatu...tapi tak dapat dibawa pulang hari ni...nanti dah sampai barangnya mungkin diupload jika diperkenan oleh yang berbahagia si tuan empunya..:P

Oh yer...disebabkan mama lupa nak ambik picture time kat spital, mama just nak show something....sesuatu yang menyambut kepulangan kami di muka pintu...
Mama sendiri tak pernah tengok dan tak tau namanya, tapi if benda ni duduk pada daun, for sure kita akan tertipu..kuasa Allah, kan....

Nak tau apa dia...ni dia:::

Anybody tau nama binatang ni, pls let me know ya.....(Sila abaikan debu2 di pintu itu)