Sunday, May 8, 2011

Tak sempat beri kad ucapan.....

Sebak sangat2, menitik air mata baca berita ni...betapa kuatnya kasih seorang ibu....lambang kasih ibu yang tak pernah putus hingga hujung nyawa... moga arwah dicucuri rahmat...

 Tak sempat beri kad ucapan

KOTA BHARU: Sebelum ini, Rashidah Illiana Zamri, 7, bersama dua adiknya akan menyerahkan kad yang dihasilkan sendiri bagi meluahkan perasaan kasih sayang sempena Hari Ibu, namun semalam detik manis itu hanya tinggal kenangan, malah diselubungi suasana pilu selepas ibu mereka Rafidah Ismail, 36, maut dalam kebakaran di Taman Sri Guchil, Kuala Krai, tengah hari kelmarin.
Bapa kanak-kanak itu, Zamri Hamat, 38, berkata menjadi kebiasaan setiap kali Hari Ibu, Rashidah dan dua adiknya Zaim Shahrul, 6, dan Zaim Iqbal, 2, menyediakan kad untuk ibu mereka bagi meluahkan perasaan kasih sayang.

“Sebelum ini, ada kad yang dia (Rashidah) buat di sekolah, dan ada juga disiapkan di rumah bersama adiknya, malah saya turut membantunya menyediakan kad itu.
“Kad itu akan diserahkan kepada ibu mereka sebagai tanda kasih sayang dan kami sekeluarga meraikan Hari Ibu bersama-sama. Bagaimanapun, kini semua detik manis itu hanya tinggal kenangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Rafidah menyelamatkan tiga anaknya daripada kebakaran di rumah mereka, namun dia sendiri terperangkap selepas gagal membuka jeriji pintu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, Rafidah sempat mengeluarkan anaknya menerusi tingkap, namun gagal keluar kerana ruang antara besi yang dibengkokkan hanya muat untuk kanak-kanak.

Difahamkan, selepas menyelamatkan anaknya, Rafidah cuba keluar menerusi pintu utama, tetapi ketika membuka jeriji pintu berkenaan kunci tiba-tiba terjatuh, menyebabkan mangsa panik dan lemas akibat asap tebal.

Selepas api dipadamkan bomba, mayat Rafidah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai ditemui rentung berhampiran pintu utama rumahnya.
Zamri berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu dan mendoakan semoga roh arwah isterinya dicucuri rahmat.

Katanya, dia sebak melihat keadaan tiga anaknya yang buat pertama kali tidur tanpa ditemani ibu mereka.

“Sebak apabila melihat anak malam tadi (malam kelmarin), anak bongsu (Zaim Iqbal) asyik menangis dan hanya tidur pada jam 4 pagi. Biasanya dia tidur dengan mamanya, tetapi keadaan sekarang berubah.

“Anak sulung (Rashidah) dan kedua (Zaim Shahrul) lebih banyak mendiamkan diri, mungkin masih terkejut dengan apa yang berlaku semalam (kelmarin),” katanya.

(Berita dari harian metro  )

2 comments:

Najwa.H said...

sedih mengenangkan citer ni..

Mama3Q said...

tu la najwa..sedih sgt kan...demi anak2, beliau sanggup berkorban, selamatkan anak dulu..mana2 ibu pun pasti akan wat benda yang sama...