Monday, January 30, 2012

KENANGAN HAMILKAN KAMU...(27/4/2008-30/01/2009)


Dear QAISARA NUR DAMIA, sayang mama, cinta hati mama, nyawa mama...

Dulu pernah mama ceritakan tentang saat kelahiranmu yang sangat manis di  sana...
Dan untuk ulangtahun mu kali ke3 ini, ingin sekali mama coretkan juga di sini saat2 manis semasa kamu masih di dalam perut mama, agar suatu hari bila kamu bisa membaca, kamu akan tahu betapa tidak berbelah bagi kasihnya mama pada kamu......

Qaisara anakku...
Tanggal 14 March 2008 itu tarikh yang sangat manis bilamana papamu berjanji sehidup semati dengan mama...tarikh bila mana papamu berjanji menjaga mama sepenuh jiwa raganya, berjanji mencintai mama hingga akhirnya. Mama bersyukur untuk itu.

Waktu itu, mama masih di negeri Perak, manakala papamu di Johor. Maka demi cinta dan rindu yang tak pernah padam, perjalanan jauh terpaksa mama dan papa tempoh demi bertemu satu sama lain.

Mama ingat lagi, bulan Mei 2008 itu, saat mama tertidur kepenatan di dalam bas yang membawa mama pulang ke Perak selepas ketemu papamu, mama didatangi mimpi yang sangat indah yang sukar untuk diceritakan.. Mimpi sesuatu yang tak pernah terbayang dek mata, mimpi yang hingga saat ini mama rahsiakan dari sesiapa kecuali papamu.

Namun waktu itu mama tak pernah menyangka kiranya itulah petanda kehadiranmu. Hujung Mei itu, mama tertunggu2 kehadiran ’kawan baik’ mama (istilah yang diberikan oleh papamu utk apa yang disebut menses, yang kali terakhir ia datang pada 27/4/2008), namun kawan baik itu tak pernah datang Mei itu, hinggalah tarikh 2 June itu...  Usai solat subuh pagi itu, mama ambil keputusan memeriksa sendiri urine mama. Dan alangkah berdebar2 dan terketar2 tangan mama saat dua garisan positif itu muncul!!...Ya Tuhan....syukur tak terhingga mama panjatkan pada Ilahi...Terima kasih ya Allah untuk kurniaan ini...Hingga saat ini umurmu 3 tahun, mama masih simpan bukti dan kenangan itu...



Qaisara cinta hatiku...
Perubahan selera dari sukakan pedas kepada tak tahan pedas, mual dan loya di waktu petang serta malam hari, serta muntah  di saat menggosok gigi...itulah penangan kamu yang ada di dalam perut mama tika itu... Alhamdulillah dugaannya tidaklah terlalu berat buat mama, dan mama masih mampu bekerja dengan penuh semangat dan penuh rasa cinta.

Waktu itu mama masih perlu berjauhan dari papamu.. Menangis mama sewaktu memohon dipercepatkan pertukaran mama ke negeri papamu, agar mama tidak keseorangan menghadapi segalanya...Dan Alhamdulillah segala urusan dipermudahkan ALLAH, bulan Julai itu mama ditawarkan utk berpindah tetapi dek kekangan perkhidmatan yang mendesak di tempat lama, perpindahan mama ditangguhkan hinggalah August 2008.
 
August 2008, alhamdulillah akhirnya mama dapat dekat sama papamu..kini mama punya tempat bermanja, tempat mengadu, tempat menangis, dan ketawa...

Awal-awal kehidupan bersama itu, segalanya sangat indah, biarpun adakalanya mama terrpaksa menitiskan air mata utk sesuatu yang tak perlu mama ceritakan di sini..
Mama ambil kesempatan ini memohon maaf kepada kamu kerna sering juga emosi mama terkesan oleh sesuatu lantas senang benar air mata ini tumpah...
Mama minta maaf kerana membiarkan emosi itu menguasai diri, namun mama tak berdaya waktu itu...dek kerana sakit hati serta amarah manusia, yang entah di mana silapnya, mama yang menjadi mangsa. Mujur ada papamu sebagai penguat mama.

Tapi tak mengapa sayang, di luar rumah, di tempat kerja, mamamu adalah seorang yang ceria, hingga tak pernah ada seorang pun tahu kelukaan dan duka yang mama tanggung. Mama cuba sebaik mungkin mengawal emosi diri agar lahirnya kamu nanti akan menjadi anak yang ceria juga. Mama perdengarkan kamu dengan bacaan ayat suci Al-Quran sejak awal lagi, dan pelbagai lagi doa yang mama amalkan dengan harapan kamu akan menjadi anak yang sempurna kejadian dan bentuknya, menjadi anak soleh, serta anak yang berjaya dunia akhirat. 

17 minggu, gerakan kamu di dalam perut mama sudah mama rasai...dan sejak itu mama senang sekali dengan gerakan itu. Gerakan kamu sangat lembut, tidak pernah menyusahkan mama dari dalam sana. Tidur mama nyenyak , mimpi mama indah-indah semuanya.

Aidilfitri tahun itu, mama seorang diri membawa kamu di dalam perut mama. Kita terbang pulang ke kampung ibubapa mama. Di sana ada cinta, ada kasih buat kamu. Kita berhari hari raya tanpa papamu..demi kerjaya yang menuntut pengorbanan seorang isteri. Air mata mama tumpah bila sendirian.

Aidiladha 2008, mama sekali lagi pulang ke kampung ibu bapa mama, kali ini bersama papamu. Terima kasih buat papamu untuk kenangan itu.

Pulang bekerja selepas Aidiladha itu, mama diserang suatu penyakit.
Waktu itu Chingkungunya tengah bermaharajalela di negeri Johor. Namun mama tidak tahu jika itu penyakitnya yang menyerang mama atau kah ia sejenis penyakit lain.

Waktu itu, seluruh sendi mama mengalami kesakitan yang teramat sangat. Walau tidak nampak di mana inflamasinya, dan tidak nampak sebarang bengkaknya, sakitnya hanya Tuhan saja yang tahu. Bayangkan  kedua-kedua pergelangan tangan mama tidak mampu mengangkat walau satu mug air. Sakit. Dan bayangkan sendi kaki yang sakit hingga berjalan pun terpaksa diperlahankan. Bayangkan lutut mama sakit hingga solat pun meitiskan air mata. Semua sendi mama sakit.

Hampir 2 bulan lebih kesakitan itu mama tanggung, namun demi tugas, mama gagahkan diri utk menulis, mama gagahkan diri utk memeriksa pesakit. Kerja mama yang memerlukan mama selalu bangun dan duduk semula ketika memeriksa pesakit , mama lakukan dalam keadaan yang amat sakit!  Sakit pada kaki yang berjalan, sakit pada tangan yang memegang perut pesakit dan sakit ketika menulis. Semuanya sakit!

Mama tidak tahu jika ada di antara pesakit itu pernah dimarahi mama dalam keadaan mama sendiri yang amat sakit waktu itu. Jika ada, mama harap mereka akan maafkan mama, kerana mama sendiri tidak berdaya waktu itu.

Kalau ada pesakit lain yang mengalami sakit yang mama alami, pastinya sudah berbulan ’MC’ diminta daripada doktor kan. Tapi oleh kerana mama ini seorang doktor, dan tiada yang akan menggantikan tempat mama waktu itu jika mama sendiri ”MC”, makanya mama terpaksa bekerja juga.

Alhamdulillah masuk bulan Januari, setelah 2 bulan menanggung kesakitan, akhirnya ia beransur hilang. Mama bersyukur saat itu kerana kiranya mama masih tidak mampu memegang mug air pun, bagaimana bisa mama memangku kamu bila kamu lahir kelak. Itu yang selalu mama fikirkan tika itu. Syukur sekali lagi. Tuhan itu Maha Pengasih. Diberinya sedikit ujian agar kasih mama dan papa bertambah erat, biarpun ada tikanya air mata tetap jua gugur di celah-celah kesakitan itu.

 29 Januari 2008, Khamis, mama bekerja hingga lewat petang. Kalau tak salah 6.30 petang masih di klinik waktu itu. Usai solat maghrib itu, mama lakukan solat hajat, dan mama usap kamu di dalam perut mama. Mama seru kamu agar segera keluar pada malam itu, malam Jumaat yang indah pada perkiraan mama.

9.30 malam, mama mula rasakan kelainannya sewaktu menghadap hidangan makan malam sendirian. Namun sempat juga mama habiskan nasi tersebut. Mama tunggu lagi, terasa lagi contraction itu datang, dan akhirnya bila mama yakin bahwa kamu akan tiba tak lama lagi, segera mama menelefon papamu agar segera pulang.

Papamu bergegas pulang, dan dengan beg baju yang tersedia dari awal, kami akhirnya berangkat ke hospital. Perjalanannya agak jauh, namun alhamdulillah perjalanan malam itu dipermudahkan, tiada traffic jammed seperti kebiasaannya di lebuhraya  itu.

11.30 malam, kami tiba dan disambut mesra petugas di Hospital Pakar Puteri, tempat yang mama pilih kerana doktornya seorang wanita muslimah. Biar aurat mama terjaga, hanya utk papamu sahaja aurat ini. Bukan darurat namanya bilamana kita punya pilihan, kan?

Sebaik diperiksa, jalan utk kamu keluar telah terbuka 3 cm. Papamu setia di sisi ketika mama bertarung dengan kesakitan itu. Segala doa mama baca bagi memudahkan perjalanan kamu ke dunia, dan memudahkan perjuangan mama ini.
Dan akhirnya pada jam 2.30 pagi Jumaat 30.01.2009 yang hening itu, kamu akhirnya tiba membawa cahaya buat mama dan papa. 




Qaisara at 3 year old. ALHAMDULILLAH

[Cerita tentang waktu lahir serta VIDEO kelahiran itu pernah mama ceritakan di sini...]


ALHAMDULILLAH, terima kasih ya ALLAH atas kurniaanMu yang  indah ini. Terima kasih kerana mengurniakan QAISARA NUR DAMIA menjadi anakku. Terima kasih kerana dia permata hatiku, terima kasih kerana dialah cahaya cintaku...


          HAPPY BIRTHDAY ANAKKU!!






7 comments:

Nadz Nazharzan said...

Selamat hari lahir Qaisara.. Semoga menjadi anak yang diidamkan oleh mama dan papa..

ps: Mama2Q, kek yang telah dimasak, bila nak disimpan dlm peti sejuk, balut dulu kek tu dengan cyling wrap atau boleh simpan dlm tupperware. Then bila nak makan, kuarkan dulu dalam 20 minit sebelum dipotong...Atau kalau ada microwave, boleh panaskan kejap dalam 15-20 saat (utk kek yg tiada krim) supaya kek lembut semula..

Unknown said...

salam,
terharu saya baca... tiada yg indah dlm hidup seorg wanita disaat melahirkan zuriatnya sendiri... subhanallah...
Happy Birthday to Qaisara Nur Damia!

Mama3Q said...

Naz...thank you for the wishes...And Tq for the informative sharing...:)Byk lagi kena berguru dgn NAz ni...

Mama3Q said...

Marya..TQ juga..kan, tiada yg lebih indah selain menjadi ibu kan...Alhamdulillah diberi peluang itu

Aliza Nuraini said...

nice entry auntie . sy still 18 . tp terharu... hehe . semoga hidup anak2 dirahmati .

Unknown said...

Qaisara, happy birthday ya..auntie doakan qaisara jadi anak solehah yg berjaya dunia akhirat.

#Being a mom is a great gift from Allah:D

Mama3Q said...

Ladysirna....Tq from qaisara...and amin for the doanya...